Artikel : Berita Harian
MOHD Shakirin Ibrahim mencipta sejarah menjadi pemain bukan
Cina pertama menjuarai acara perseorangan lelaki Kejohanan Ping Pong Kebangsaan dalam sejarah 43 tahun pertandingan yang didominasi
kaum Cina itu.
Pemain berusia 24 tahun dari
Kuala
Lumpur itu mengejutkan
pilihan utama dan juara bertahan, Chan Koon Wah 4-2, pada perlawanan akhir di Dewan Sekolah Hua Jin, Batu Pahat, semalam.
(Desember 2006)
Mohd Shakirin, anak seorang anggota polis dan pilihan
ketiga kejohanan, mempamerkan persembahan bersemangat untuk bangkit daripada ketinggalan satu set sebelum menumpaskan pemain
Selangor itu.
Di separuh akhir, Mohd Shakirin menewaskan Tan Chin dari Pulau Pinang 4-2 manakala Koon Wah mengatasi
Peng Jia Ping, juga dari Pulau Pinang, dengan 4-3.
“Kejayaan ini
amat manis selepas lima percubaan. Tahun lalu,
saya tewas di separuh akhir tetapi kali ini saya dapat lakukan,” katanya selepas perlawanan itu yang turut disaksikan
bapanya, Ibrahim Shaharudin.
“Lawan saya tidak menunjukkan persembahan terbaiknya hari ini tetapi mungkin kami
saling mengetahui corak permainan masing-masing dan saya berjaya menyekat gerakannya,” katanya.
Mohd Shakirin,
pemenang pingat gangsa pada Kejohanan Komanwel dan pemenang gangsa acara beregu campuran pada Sukan Sea Manila tahun lalu,
adalah pelatih sepenuh masa Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil.
Selain Mohd Shaikirin, pemain Kedah, Beh Lee
Wei turut mencipta rekod dengan merangkul juara perseorangan wanita buat kali ke-10 berturut-turut selepas menumpaskan rakan
senegeri, Ng Sock Khim 4-2 pada perlawanan akhir.
Pengorbanan Shakirin
Oleh
Aida Adilah Mat
Artikel : Harian Metro 24 Des 2006
“BUKAN kerana takut kepada abah yang membuatkan
saya memilih ping pong. Ping pong adalah segala-galanya buat saya, daripada dulu
hingga kini dan selamanya.”
Begitulah pendirian pemain
ping pong nombor satu negara, Mohd Shakirin Ibrahim ketika diajukan soalan mengapa dia memilih sukan yang sejak azali dimonopoli
oleh kaum Cina.
Shakirin, 21, berkata, bapanya seorang
polis berpangkat sarjan, memang dikenali dengan perwatakan tegas dalam menguruskan setiap perkara tapi bukan kerana desakan
ataupun takut membuatkan dirinya terarah kepada ping pong.
Dikenali dengan panggilan Angah di kalangan keluarga mahupun teman-teman, Shakirin mula mengikut ayahnya bermain sejak
berusia enam tahun dengan kerelaan hatinya.
Jiwanya tidak pernah
memberontak biarpun kanak-kanak seusianya ketika itu ligat bermain tembak-tembak, badminton atau sebagainya tapi hatinya itu
akan tidak keruan jika sehari tidak memegang bat ping pong.
Ping
pong sudah cukup memberikan kepuasan, keseronokan dan kegembiraan dan sehubungan itu, Shakirin menyifatkan dirinya sanggup
berkorban demi sukan itu.
“Tiada istilah
menyesal melepaskan zaman muda biarpun sedar ranjau penuh berliku akan ditempuhi kerana ping pong lebih sinonim dengan masyarakat
Cina,” katanya.
Katanya, jika ditanya
mereka yang mempunyai profil seorang juara, perkara utama yang akan diperkatakan adalah pengorbanan. Pengorbanan melepaskan
usia muda dan pelajaran, iaitu bekalan paling utuh untuk setiap manusia.
“Banyak yang saya perlu korbankan. Pertama, memilih pelajaran atau bersukan. Kedua, saya
perlu keluar daripada kepompong bapa jika tidak mahu berada di takuk yang sama,” katanya yang sudah berpengalaman berlatih
di bawah lima jurulatih, dua dari Korea Utara dan tiga dari China.
Memulakan kerjaya seawal umur enam tahun, Shakirin mula serius dengan menyertai kejohanan pada usia sembilan
tahun. Kejayaan pertama yang dikecapi adalah menduduki tempat ketiga Kejohanan Asia Tenggara ketika berusia 15 tahun dan kini
bergelar pemain nombor satu negara selepas menjuarai Kejohanan Kebangsaan di Batu Pahat, baru-baru ini.
Katanya, dalam rasa bangga berada di ranking teratas, masih tercalit perasaan
rendah diri kerana tidak dapat merubah mentaliti orang ramai yang menganggap ping pong sebagai sukan kelas kedua.
Pemuda yang mempunyai ketinggian 183sm itu berkata, banyak lagi yang
diperlu dikerjakan. Antaranya mencari gelaran juara individu di peringkat Asia Tenggara ataupun Asia untuk mengangkat martabat sukan ini setaraf sukan elit seperti
badminton dan bola sepak.
“Ping pong sukan yang unik. Uniknya permainan ini tidak dapat
dinilai dengan mata kasar. Bukan senang seperti yang dilihat. Kita perlu mendalami karektor bola itu. Setiap inci pergerakan
ada muslihat tersembunyi sedikit sebanyak dapat membantu perjalanan hidup.
“Ping
pong mengajar saya erti disiplin. Jika tidak mungkin saya akan menjadi ‘mat rempit’, maklumlah saya bukannya pandai
sangat dalam pelajaran,” katanya.
Hakikatnya, tidak susah
untuk mendekati jejaka ini. Biarpun menyifatkan dirinya seorang yang pendiam, kena pada gayanya tidak sukar untuk mengajaknya
untuk berbicara namun harus kena pada masanya kerana dia juga seorang yang panas baran.
“Saya seorang yang pendiam. Susah nak bergaul dengan rakan-rakan baru. Saya juga seorang yang panas baran
terutama ketika jika tak puas hati dengan prestasi saya. Bila nampak saya berdiam diri, itu bermakna ada sesuatu yang tak
kena,” kata pemuda yang meminati warna biru itu.
Ketika impiannya untuk ke Sepanyol menyertai kejohanan disamping mendalam ilmu terkandas di tengah jalan, Shakirin
tidak menganggap itu sebagai penghalang untuk menjadi juara dunia.
|